'KENAPA aku resah semacam je ni? Hish...' ngomel Maisara di dalam hati. Seharian tidak berjumpa membuatkan dirinya bagaikan terbang di awang-awangan. Entah mengapa sejak bertemu dengan Shaz hatinya menjadi gundah gelana. Sehari tidak berjumpa rasa bagaikan sebulan lamanya, sebulan tidak berjumpa bagaikan setahun lamanya. Adakah aku sudah jatuh cinta?
Shaz, seorang pengkid yang boleh diibaratkan mempunyai pakej yang lengkap. Walaupun Shaz sebenarnya seorang perempuan, namun suara dan parasnya boleh menyebabkan sesiapa sahaja yang memandang menyatakan sebaliknya. Alangkah indahnya pertemuan kita ini! Walaupun Shaz telah banyak berkorban untuk Maisara, namun hakikat sebenarnya Maisara masih lagi belum menerima Shaz sepenuh hati. Dia masih dibelenggu dengan perasaan yang sukar ditafsirkannya sendiri. Sejujurnya dia bahagia di samping Shaz. Cukuplah sekadar dia bahagia tanpa terikat dengan sesiapa. Itu yang lebih penting baginya.
Kecewa dengan lelaki tidak bermakna dia harus membenci mereka! Hati yang terluka dan berkecai tidak mungkin akan sembuh dengan sekelip mata sahaja. Maisara perlukan masa. Ya, masa lah yang akan dapat memulihkan semangatku kembali. Aku akan cuba untuk membuang jauh jauh perasaan terlarang ni. InsyaALLAH.
Mindanya mula kembali menerjah ke alam khayalan. Dia kembali mengingati detik-detik indah kehidupannya sejak dilahirkan ke muka bumi lagi. Setiap peristiwa yang pernah melanda jiwa resahnya selama ini kembali menerjah di sanubarinya. Dia terkenang saat indah semasa kecil dahulu. Kehadiran seseorang yang pernah hadir dalam hidupnya. Seseorang yang amat dirinduinya sejak dulu lagi.
"Bagaimanalah keadaan dia sekarang? Apakah dia masih mengenali diriku?" soal Maisara lagi.
Qairul Rafique, seorang yang paling istimewa yang pernah hadir dalam hidupnya. Seorang sahabat bahkan sudah dianggap sebagai saudaranya sendiri. Dia terkenang kembali saat-saat di mana dia juga pernah meminati lelaki kacukan Inggeris-Melayu itu. Cinta monyet! Maisara tergelak kecil.
"Abang.. Sara merajuklah macam ni. Jomlah kita main masak-masak!" rengek Maisara. Dia merajuk kerana Qairul menolak ajakannya untuk bermain bersama-sama.
"Tak nak lah. Tu permainan budak perempuan lah. Malulah abang macam ni!" marah Qairul lagi. Dia serik kerana sering diejek sebagai pondan. Hanya kerana dia selalu bermain bersama Maisara.
"Habis? Kita nak main apa. Sara mana tahu main lastik!" Maisara bersuara lagi. Berang dengan tindakan Qairul yang seakan-akan tidak mengendahkan dirinya.
"Nanti Sara mengadu kat mama! Sara nak bagitahu mama yang tak mahu bermain dengan Sara!"
"Eleh! Mengadulah. Ingat abang takut ke?"
"MAMA!" jerit Sara sekuat hati.
Sampai terhenjut-henjut badan Maisara menahan ketawa apabila terkenangkan zaman indah kanak-kanaknya. Indah sungguh saat itu! getus Maisara di dalam hati. Dia seakan-akan tidak percaya dengan perangainya yang kuat merajuk dan kuat mengadu itu. Sehingga Qairul sendiri tidak sudah-sudah mengenakan dirinya. Ingin sahaja dia kembali ke saat itu, detik di mana dia tidak perlu tahu erti kecewa. Saat di mana dia tidak perlu tahu makna derita akibat cinta. Maisara pasrah. Dia redha dengan suratan takdir. Dia yakin pengalaman sebeginilah yang akan mengajarnya erti kematangan dalam meranjau liku-liku kehidupan.
Aku perlu menjadi lebih dewasa!