Bab 12

"Kau couple dengan pengkid?" tanya Pn. Nora tiba-tiba. Memecahkan suasana sunyi di ruang tamu itu.

"Er. Sara.." tergagap-gagap Maisara cuba menjawab soalan Pn. Nora. Dia benar-benar buntu. Tidak disangka tembelang yang disimpan selama ini akhirnya pecah jua.

"Mulai saat ini, detik ini dan hari ini mama tidak izinkan Sara keluar ke mana-mana lagi kecuali ke kuliah! Faham!" bentak Pn. Nora lagi.

Tanda protes terhadap perbuatan anaknya yang dianggap tidak masuk akal. Sungguh hatinya benar-benar terbakar dengan tingkah laku Maisara. Dia kecewa. Anak yang ditatangnya selama ini dengan penuh kasih dan sayang selama ini sanggup menconteng arang ke mukanya!

SEJAK hari itu, Maisara bertekad bahawa dia tidak akan mengulangi kesilapannya ini lagi. Dia juga berazam untuk menyedarkan Damia dan membawa mereka kembali ke pangkal jalan. Itu janjinya! Dia tidak mahu melukai hati mamanya lagi. Cukuplah dia menyeksa batin mamanya selama ini. Siapa sangka berita hubungan songsangnya akan menyebabkan mamanya kemalangan selepas memarahinya pada hari itu. Oleh kerana terlalu tertekan, Pn. Nora keluar dari rumah malam itu juga.

Tindakannya memandu dalam keadaan marah mengakibatkan semua lampu isyarat merah dilanggarnya begitu sahaja. Tanpa disangka sebuah lori besar sedang menuju laju ke arah kereta Pn. Nora. Nasib Pn. Nora begitu baik kerana dia tidak mengalami kecelakaan yang parah sungguhpun terpaksa terlantar di hospital berminggu-minggu. Keadaan inilah yang merisaukan Maisara. Rasa bersalah semakin menghantui dirinya. Dialah punca mamanya kemalangan yang boleh membawa maut.

Maisara akhirnya insaf dan berjanji untuk berubah. Dia mahu kembali ke pangkal jalan. Dan sahabat karibnya itu juga akan dia bawa kembali bertaubat dan pulang ke jalan yang benar.

"Maafkan aku Damia!"