Bab 9

SEPERTI jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib yang dirasakan oleh Alfie Shahrizal kini. Entah mengapa, dia terasa seperti sudah kalah. Kalah dalam perang yang dicetuskannya sendiri. Sungguh dia tidak menyangka, Maisara sanggup memperlakukan dirinya sebegini. Jantungnya bagaikan hendak tercabut apabila dia melihat Maisara sebegitu mesra dengan seoraang pengkid! Ya Allah! Rizal menampar pipinya berulang kali. Dia seakan-akan hampir tidak percaya Maisara sanggup mengkhianati janji mereka. Sedangkan dia masih lagi setia menanti sehingga Maisara menjadi miliknya secara sah. Benar kata sepupunya, Sophia sewaktu mereka terserempak secara kebetulan minggu lalu.

"Jangan ikutkan sangat hati kau tu! Siapa kata cinta pertama kekal? Rizal, kau harus sedar. Cinta antara manusia tidak kekal abadi. Ia hanyalah seketika. Jadi kau harus berpijak di bumi yang nyata. Hentikanlah angan-angan kau untuk menanti dia. Kau yakin ke dia akan setia? " Nasihat Sophia mula bermain di kotak fikirannya kini.

Sebagai seorang sepupu yang sangat rapat, Sophia pasti tahu keadaan Rizal yang sedang berduka kerana baru sahaja putus cinta. Hubungan yang dibinanya bersama Maisara sudah pun mencecah angka 6 tahun. Siapa sangka cinta pandang pertama mereka sejak bertemu di studio dulu akan bertahan hampir 6 tahun. Inilah cinta pandang pertama buat diri Rizal. Wanita yang memiliki semua ciri-ciri wanita idamannya. Lemah lembut, cantik, manis dan sedap mata memandang sememangnya menjadi pilihan Rizal. Keluarganya juga sudah menganggap Maisara seperti menantu mereka sendiri sungguhpun tiada ikatan sah di antara mereka berdua. Sememangnya Rizal bahagia di samping Maisara.

Namun kebahagian yang mereka inginkan hanya seketika. Semua ini berpunca dari salah Rizal. Dia tidak mahu menangguk di air yang keruh. Dia juga tidak mahu dicap sebagai lelaki dayus. Sememangnya dia akui, Maisara mempunyai latar belakang keluarga yang baik. Tapi, dia juga sedar akan hakikat duniawi yang terus terang mengatakan bahawa Maisara bukan miliknya. Aku tak layak untuk kau Sara! Kau cantik dan pandai. Berpelajaran. Sedangkan aku cuma membuat part time sebagai seorang penyanyi sambilan di sebuah studio rakaman saudaraku sendiri. Mana mungkin keluargamu mahu menerima diriku yang hina ini sebagai menantu. Aku tidak mampu!

Aku juga tidak mahu dituduh sebagai pemusnah masa depan kau Sara. Walaupun keluargamu tidak pernah menyatakan sebegitu, namun hati ini tetap terasa jika kau tidak mendapat pointer seperti yang kau idamkan. Aku tidak mahu menjadi punca kau tidak berjaya dalam hidupmu Sara. Cintaku hanyalah untuk dirimu, tapi apalah dayaku. Aku belum pasti jika aku boleh memberikan kau kebahagiaan Sara. Oleh itu, aku membuat keputusan untuk meninggalkan dirimu. Dan aku berjanji akan menunggumu sehingga kau berjaya kelak. Tapi jika kau memilih untuk bersama dirinya, izinkanlah aku untuk mengundurkan diriku.

"Izinkan diriku meluahkan rasa
Maafkanlah aku andai kau terasa
Biar ku paparkan apa yang terjadi
Moga engkau tak ulangi

Sungguh tak ku sangka kau berpaling tadah
Setelah lamanya menjalinkan cinta
Dalam diam diam kau sudah berpunya
Tanpa aku menyedari semuanya

Aku mendoakan agar kau bahagia 
Bersama si dia insan yang kau suka
Percintaan kita tak sampai ke mana
Setakat dibibir saja sayang

Kau bina mahligai dari air mata
Yang jatuh berderai di wajah sepiku
Hancurnya hatiku bisa tak terkata
Terhumban rasa diriku

Oh aduhai ku masih ingati janji manis
Dan saat romantis 
Kau pintaku supaya setia
Akhirnya kau yang berubah

Oh Tuhanku tabahkan hatiku
Temukanku dengan ketenangan
Jiwa ini dibelasah rindu
Tetapi apa dayaku

Ku cuba pejam mata tapi tak terlena
Kerana ku masih teringat padamu
Begitu payahnya nak ku melupakan
Pernahkah engkau fikirkan oh sayang..."

Rizal menyanyi sambil bermain gitar di ruang kamarnya. Sungguh sedih dan pedih hatinya kini. Dia tidak tahu harus berbuat apa lagi. Semuanya telah jelas kini. Maisara sememangnya tidak ikhlas menyayangi dirinya. Jika tidak, mengapa dia sanggup menerima kehadiran orang baru. Lebih memilukan hatinya, Maisara kini ditakluki oleh seorang pengkid. Lelaki mana yang tidak tercabar dengan situasi sebegini. 

Jauh di dasar hatinya, terdetik niat untuk kembali memujuk Maisara. Namun, ego seorang lelaki melarang dirinya dari berbuat sedemikian. Biarlah. Dia bahagia tanpa aku!